Kata-Kata Aluan Ketua Pegawai Eksekutif

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Ibarat sirih pulang ke gagang. Itulah ungkapan paling sesuai bagi menggambarkan situasi di mana kembalinya saya ke Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) setelah meninggalkan PPPNP pada tahun 2013.

Kembalinya saya ke PPPNP ini adalah bagi meneruskan usaha-usaha murni yang telah diperjuangkan semasa pentadbiran terdahulu disamping meningkatkan lagi produktiviti syarikat. Untuk mencapai produktiviti yang tinggi, kita perlu menghapuskan halangan yang wujud dalam pertumbuhan produktiviti di kedua-dua peringkat makroekonomi dan mikroekonomi. Tiada formula yang rumit diperlukan untuk maju ke hadapan kerana apa yang perlu dilakukan adalah dengan memupuk daya saing dan pemikiran yang produktif.

Pekerja sebagai modal insan merupakan faktor yang menentukan sama ada syarikat meraih keuntungan dan produktiviti tidak kira apa jenis produk atau perkhidmatan yang dihasilkan. Produktiviti syarikat juga terjamin jika tenaga kerja memberi tumpuan penuh kepada tugasan yang diberikan. Dari sudut pengurusan PPPNP juga, saya akan mengambil pendekatan yang lebih bijak dan bertolak ansur apabila berhadapan dengan pekerja yang melakukan kesilapan dengan tidak terus menghukum sebaliknya melihat sebagai peluang pembelajaran kendiri ke arah produktiviti yang lebih tinggi. Konsep ini bertepatan dengan ‘Politik Kasih Sayang’, yang sering ditekankan oleh YAB Tuan Ahmad Faizal Dato’ Azumu, Menteri Besar Perak.

“Kita adalah terbaik apabila kita saling bekerjasama”. Saya menyeru seluruh warga kerja PPPNP bahawa kita perlu sedar jika bekerja secara bersendirian bukan sahaja menjejaskan kesan berganda terhadap persekitaran perniagaan malahan ia turut membuang masa dan sumber. Ia merupakan satu peluang untuk kita berganding bahu bagi menggerakkan misi kita dalam menerapkan pemikiran dan budaya produktiviti tinggi dalam kehidupan seharian. Hanya dengan itu, aspirasi negara untuk menjadi negara dengan status berpendapatan tinggi dan kesejahteraan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia akan tercapai menjelang tahun 2020 dan akan datang selaras dengan Aspirasi Kerajaan Pakatan Harapan sekarang yang diketuai oleh YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

"WA ALAYKUMU S-SALAM WA RAHMATULLAHI WA BARAKATUH"

HAJI YAHANIS BIN YAHYA, ACM, AMP

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Produk