PULAU PANGKOR, 3 JAN 2024 – Perak SADC telah menganjurkan ‘Program Breakout Perak SADC @Pangkor’. Program yang melibatkan 112 orang warga kerja Perak SADC dari Peringkat Eksekutif sehingga Pengurusan Kanan ini diadakan untuk membolehkan warga kerja dan pihak pengurusan kanan berdiskusi, mendapatkan inspirasi, dan merancang strategi dan KPI bagi tahun 2024.
‘Program Breakout Perak SADC @Pangkor’ selama tiga hari dua malam yang berlangsung di Pangkor Village Beach Resort ini merupakan program serampang dua mata Perak SADC dalam mempromosi Pulau Pangkor sebagai salah satu destinasi pelancongan di Perak sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Selain daripada aktiviti-aktiviti formal, masa juga diperuntukkan bagi YBhg. Dato’ Haji Yahanis bin Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC serta Pengurusan Kanan untuk berinteraksi secara santai Bersama warga kerja Perak SADC. Ini memberi peluang kepada mereka untuk berbincang secara terbuka dan mencipta hubungan yang lebih kukuh di luar persekitaran pejabat.
Tujuan utama retret ini adalah untuk menyatukan pemikiran dan matlamat pasukan pengurusan. Dengan suasana yang santai dan tanpa tekanan, warga kerja dapat berkongsi idea, mengenal pasti cabaran masa depan, dan merancang strategi untuk mengatasi cabaran tersebut.
Hari terakhir program diakhiri dengan sesi pembentangan KPI oleh setiap bahagian/unit kepada YBhg. Dato' Yahanis bin Yahya serta sesi penyerahan KPI oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC.
Sesi pembentangan KPI yang diketuai oleh setiap ketua bahagian/unit itu dimulakan dengan ikrar oleh setiap bahagian/unit. Ikrar tersebut merupakan antara pembakar semangat bagi setiap warga kerja Perak SADC dalam mencapai apa yang telah dirancang dan ditetapkan bagi KPI bahagian/unit masing-masing.
Dalam ucapan penutup, YBhg Dato' Yahanis bin Yahya turut memberi penekanan bahawa 'team work' adalah kunci kejayaan sesuatu organisasi dalam mencapai apa yang telah direncanakan.
