LENGGONG, 14 JANUARI 2024-Perak SADC melalui melalui inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memacu pembangunan luar bandar melalui pelaksanaan program PROSPEK Lenggong dengan pelbagai bentuk bantuan & sokongan terutamanya dalam memperkasakan sosioekonomi rakyat di daerah Lenggong.
Sehubungan dengan itu, Perak SADC yang diberi peranan sebagai agensi pelaksana telah mengadakan satu Majlis Penyerahan Program Bantuan Usahawan Kampung di bawah Program PROSPEK Lenggong yang disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad di Perkarangan Dewan Paksu Zali, Lenggong, hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 29 orang penerima yang terdiri dari usahawan kecil yang terlibat dalam aktiviti perniagaan seperti peniaga makanan, perkhidmatan mesin rumput, jahitan, pertanian serta pengukir kayu telah menerima pelbagai bentuk barangan & peralatan perniagaan yang berjumlah kira-kira RM56,200. Antara bentuk peralatan yang diterima seperti peti sejuk beku (freezer), mesin jahit, mesin rumput, dan alatan memasak. Ini menjadikan seramai 34 orang usahawan serta pengusaha tempatan telah dibantu sejak tahun 2022 dengan peruntukan hampir mencecah RM100 ribu.
Hadir sama YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Bin Haji Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga ahli parlimen Lenggong; YBhg. Dato' Yahanis Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC; YDH Toh Shah Bandar Hulu, Dato Termizi bin Hj Idris; En.Faizal Shah Bin Safian Huri, Pengarah KKDW Negeri Perak; Tn.Hj. Kahar B. Mukhtarudin, Ketua Pegawai Operasi Perak SADC; Tn. Mohd Nor Azam B. Ismail, Ketua Penolong Pegawai Daerah Lenggong; En. Amzari B. Arzami, YDP Majlis Daerah Lenggong & Tuan Abd Rahman B. Abd Rashid, Ketua Balai Polis Daerah Lenggong.
