IPOH, 18 JAN 2024-Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Perak SADC (1973-2023), satu Majlis Bacaan Tahlil & Doa Selamat telah diadakan di Laman Seri Ridzuan, Ipoh, hari ini. Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad dan isteri.
Hadir sama ialah YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki Bin Mahyudin, Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, YBhg Dato' Yahanis Yahya, ahli-ahli lembaga pengarah Kumpulan Perak SADC, ketua-ketua jabatan & pengurusan Kanan Perak SADC.
Majlis telah dimulakan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh YBhg Dato' Haji Badli Shah Bin Alauddin yang bertajuk Kesyukuran Membentuk Kehidupan Sejahtera dan diteruskan dengan bacaan tahlil & doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri Perak, A.F Ustaz Abd Farid B. Salleh.
Selain itu, diadakan juga sesi penyampaian cenderahati kepada mantan pengurusan Perak SADC yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak yang merupakan satu tanda penghargaan atas jasa dan bakti mereka dalam memastikan Perak SADC mencapai kejayaan demi kejayaan selama 5 dekad ini.
Antara mantan yang hadir ialah Tuan Haji Nor Asri Abdullah yang merupakan Pengurus Besar Perak SADC dari tahun 2006 - 2010. Selain itu, antara mantan yang hadir ialah seperti Haji Ahmad Termizi Bin Kassim, Haji Kamarudin Bin Wahap, Harith Fadzillah Bin Mohd Tamin, Mohamad Nazri Bin Abdullah, Megat Faizal Bin Mohamad Zabri, Haji Mohamad Shariman Bin Alang Ahmad & Chan Chan Seng.
Dalam majlis yang sama juga, Perak SADC turut meraikan beberapa buah sekolah di sekitar Ipoh dengan menyampaikan sumbangan tunai sebagai satu tanggungjawab sosial korporat Perak SADC terhadap institusi pendidikan di negeri Perak. Hadirin yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan Raihan.
