Dubai, UAE 20 Februari 2024 (Selasa) – Kumpulan Perbadanan
Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Kumpulan Perak SADC) melalui anak
syarikatnya Eurofresh Sdn Bhd (Eurofresh) mensasarkan jualan sebanyak RM200
juta pada tahun 2024 melalui kerjasama global.
Eurofresh yang menjalankan aktiviti pengimportan daging dan
hasil laut sejuk beku serta penjualan daging lembu tempatan sedang
memperluaskan lagi bidang perniagaan dengan membawa masuk barangan global untuk
keperluan pasaran di Malaysia dan negara sekitar.
Delegasi Kumpulan Perak SADC termasuk anak syarikat iaitu
Eurofresh dan Tunas Lestari Capital Sdn Bhd (TL Capital) telah menyertai Ekspo
Gulf Food 2024 yang diadakan di Dubai World Trade Centre pada 19-23 Februari
2024 bagi mengenalpasti produk-produk baru yang bersesuaian dengan pasaran
Malaysia selain daripada sesi suai kenal dengan rakan perniagaan dan juga
pelabur-pelabur yang berpotensi.
Delegasi yang diketuai oleh Pengerusi Eurofresh, YB Dato'
Shahrul Zaman Bin Yahya telah berkesempatan melaksanakan 2 pertukaran
Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu diantara Eurofresh dengan Seven Foods Tarim
Urunleri Ve Gida San. VE Tic. Ltd. STI yang merupakan salah satu pengeluar
tomato kering bagi pasaran ‘central kitchen’ serta diantara Eurofresh dengan
Al-Hamd Agro Food Products Plt. Ltd dan Al-Dua Food Processing Pvt. Processing
Pvt. Limited yang mana kedua-duanya merupakan antara pengeluar daging yang
utama daripada India.
Sesi pertukaran memorandum dilaksanakan oleh Ketua Pegawai
Eksekutif Eurofresh Sdn Bhd, Puan Jasmeen dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan Perak SADC, YBhg. Dato’ Haji Yahanis Bin Yahya serta
Pengerusi Eurofresh, YB Dato’ Shahrul Zaman Bin Yahya. Kerjasama global ini
akan membantu dalam meningkatkan jualan Eurofresh dengan memperoleh stok-stok
barangan yang berkualiti.
Kumpulan Perak SADC juga berpeluang menemui banyak pembekal
dari Australia, Chile, India, New Zealand, Belgium, Turkiye dan lain-lain yang
merupakan pembekal utama produk kepada Eurofresh.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak SADC berpeluang untuk
bersuai kenal dan saling bertukar pendapat dengan billionair terkenal dunia
iaitu Tuan Irfan Allana, pemilik syarikat Kumpulan Allana (Allana) serta
keluarga beliau.
Allana telah memulakan perniagaan 150 tahun yang lepas iaitu
pada 1865 dan sehingga kini telah berkembang dengan pelbagai perniagaan dan
merupakan pembekal utama daging sejuk beku kepada Eurofresh dengan purata 20
kontena sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak SADC turut menjemput
Allana untuk membawa sekaligus membuat pelaburan ke Negeri Perak terutamanya
bagi pembangunan Perak Halal Industrial Park (Perak HIP) yang mana secara
prinsipnya Tuan Irfan Allana telah memberikan persetujuan. Diharapkan
perbincangan tersebut dapat membuahkan hasil dan memberikan impak yang tinggi
kepada Kumpulan Perak SADC khususnya dan Negeri Perak amnya.
Selain itu, Kumpulan Perak SADC juga akan mengadakan
beberapa siri perbincangan bagi memperoleh dana dan pelaburan luar negara untuk
dibawa ke Negeri Perak, antaranya pertemuan dengan organisasi CEO Clubs Nework
Inc yang berpengkalan di Amerika Syarikat dan Dubai, Berrypay , Maybank Dubai
dan beberapa organisasi lain yang dijangka akan membawa impak tinggi kepada
Kumpulan Perak SADC dan Negeri Perak. Kesemua sesi ini akan melibatkan anak
syarikat ekuiti persendirian TL Capital dan dijangkakan pelaburan bernilai
RM100 juta dapat diperoleh daripada pelabur-pelabur sepanjang tahun 2024.
Turut sama menyertai delegasi Kumpulan Perak SADC adalah
Ketua Pegawai Strategi Perak SADC, Encik Asrol Azam Bin Mohd Yusof, Ketua
Pegawai Eksekutif TL Capital, Encik Adil Azhar Bin Ibrahim serta Pengurus Besar
Strategik & Pembangunan Perniagaan Perak SADC, Encik Zulfadzli Bin Muhd
Irpan.
