IPOH, 29 Mei 2024- YAB Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Dato’ Saarani Bin Mohamad telah menerima lafaz akad terima daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, YBhg. Dato’ Haji Yahanis Bin Yahya pada Majlis Akad Penyerahan Sumbangan Lembu Korban Tahun 2024 daripada Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak yang telah berlangsung di Pejabat Menteri Besar Perak, hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Perak SADC telah menyumbang RM1.737 juta melibatkan pemberian 211 ekor lembu biasa dan 20 ekor lembu sado kepada Kerajaan Negeri Perak khusus untuk ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1445H.
Selain Perak SADC, agensi lain yang turut menyumbangkan sumbangan bagi ibadah korban tersebut adalah seperti Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). Jumlah Sumbangan Korban yang telah diterima oleh Kerajaan Negeri Perak adalah berjumlah RM2.892 juta yang melibatkan pemberian sebanyak 396 ekor lembu.
