SHAH ALAM,
4 Jun 2024-YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad bersama Ketua
Pegawai Eksekutif Perak SADC, YBhg. Dato’ Haji Yahanis Yahya serta pengurusan
kanan Perak SADC telah mengadakan satu lawatan kerja ke syarikat BoomGrow Sdn
Bhd di Shah Alam bagi melihat secara dekat teknologi pertanian yang dibangunkan
oleh syarikat tersebut, hari ini.
BoomGrow
adalah sebuah syarikat agriteknologi yang membangunkan sistem pertanian pintar
“Indoor Precision Farming” di Malaysia dengan mengembangkan sistem rangkaian
kultivar di ladang pertanian pintar yang melibatkan lebih dari 250 jenis
tanaman untuk pasaran tempatan terutamanya di hotel 5 bintang dan restoran
premium. Pihak BoomGrow juga mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pertanian
dalam pensijilan MyGAP dan Kementerian Kesihatan bagi pensijilan MyFoodTag
dalam menghasilkan tanaman yang bebas sepenuhnya daripada sebarang bahan kimia
berbahaya.
Dalam
lawatan tersebut, YAB Dato’ Seri Saarani diberi taklimat secara terperinci
mengenai sistem teknologi proprietari yang digunakan oleh BommGrow untuk
menanam kultivar-kultivar yang lazimnya diimport dari pelbagai negara asing
yang kini dibekalkan secara “hyper-local” kepada pasaran tempatan dan bakal
dipasarkan ke luar negara khususnya negara Asia Tenggara.
Pihak
syarikat BoomGrow juga turut menyatakan minat mereka untuk meneroka kerjasama
jangka panjang dengan Kerajaan Negeri Perak melalui Perak SADC yang bertujuan
meletakkan Negeri Perak sebagai peneraju dalam bidang AgriTeknologi yang
berkembang pesat di Malaysia selaras dengan agenda Kerajaan negeri dalam
menangani isu keterjaminan makanan sekali gus mencipta peluang pekerjaan
AgriTeknologi untuk golongan muda di Negeri Perak.
Turut hadir YB Dato’ Mohd Zolkafly Bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Perak; YB Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Bin Yusof, Ahli Dewan Negara; Dr. Muhaimin Bin Sulam, Ahli Lembaga Pengarah Perak SADC; Ts. Norsiyenti Binti Othman, Pengarah Jabatan Negeri Perak; Encik Mohd Kahar bin Mukktarudin, Ketua Pegawai Operasi Perak SADC dan Encik Asrol Azam bin Mohd Yusof, Ketua Pegawai Strategik Perak SADC.
