IPOH, 25 Julai 2024 - Sembilan pelajar anak kelahiran negeri Perak yang mengikuti pengajian sepenuh masa dalam bidang pertanian di pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah dianugerahkan biasiswa oleh Perak SADC melalui Yayasan Perak. Biasiswa tersebut telah disampaikan oleh YB Encik Khairuddin bin Haji Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, hari ini.
Inisiatif pemberian biasiswa ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perak SADC dalam pembangunan modal insan dan melahirkan pakar dalam industri pertanian yang akan memperkasakan agenda sekuriti makanan, khususnya di negeri Perak dan Malaysia.
Pada tahun ini, seramai 48 orang pelajar telah menerima skim biasiswa tersebut. Para penerima merupakan pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Arau dan Kampus Jasin, serta Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dengan jumlah peruntukan biasiswa ini mencecah RM1 juta.
