Perak SADC menyokong pemupukan inovasi dalam mempertingkatkan sekuriti makanan khususnya di peringkat pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah di negeri ini bagi menjayakan agenda sekuriti makanan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
Bagi mendokong matlamat tersebut, satu pertandingan Junior Food Security Innovation Challenge (J-SInC) 2024 telah dianjurkan oleh pihak Perak SADC dan pihak STeP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Menerusi pertandingan tersebut, SK Rapat Setia dan SMK Seri Iskandar muncul sebagai juara masing-masing dalam kategori Laman Dapur & Inovasi Agro. Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh YB Dato' Salbiah binti Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak yang berlangsung di Royal Perak Golf Club (RPGC), Ipoh.
Pada peringkat daerah, sebanyak 51 sekolah rendah dan 29 sekolah menengah telah menyertai pertandingan tersebut dan sebanyak 12 buah sekolah rendah & menengah yang mewakili semua daerah di Negeri Perak telah berentap di peringkat akhir. Setiap sekolah dikehendaki membentangkan produk, inovasi dalam penyelesaian masalah, kelebihan produk yang mempunyai nilai komersial dan kreatif.
Semoga program ini dapat memupuk minat keusahawanan di kalangan para pelajar sekolah di Negeri Perak dan membantu melahirkan generasi usahawan baru di Negeri Perak pada masa akan datang.
