Satu majlis penuh bermakna telah dianjurkan di Ladang Sungai Pandan, Estate 3, Bintulu bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446H, hari ini.
Majlis ini dianjurkan oleh Perak SADC dibawah syarikat Jendela Padu Sdn Bhd, anak syarikat Ladang Lekir Sdn Bhd sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga kerja yang menjadi tulang belakang kejayaan syarikat.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Syarikat Jendela Padu, YBhg. Dato’ Ismail Saffian yang sudi meluangkan masa bagi bersama-sama memeriahkan sambutan.
Dalam majlis tersebut, beliau telah merasmikan Kompleks Perumahan Baharu, yang dibina khusus bagi meningkatkan kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan tempat tinggal warga kerja ladang.
Penyediaan persekitaran tempat tinggal yang kondusif bukan sahaja memberi impak positif kepada kesejahteraan pekerja, malah turut menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keharmonian komuniti ladang secara keseluruhan.
Majlis tersebut telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pekerja dan ahli keluarga mereka. Suasana penuh ceria dan harmoni turut diserikan dengan sumbangan duit raya kepada anak-anak pekerja sebagai simbol kasih sayang dan keprihatinan pihak syarikat terhadap keluarga besar warga ladang.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Encik Mohd Azhar Mohd Yusof; Ketua Pegawai Operasi Perak SADC, Encik Mohd Kahar Mukktarudin; Pengurus Besar Operasi, Encik Noorasidi Mohamed Noordin; Pengurus Besar Kewangan: Encik Mohd Shahrul Zamir Safaruddin; Pengurus Operasi Perladangan, Encik Hasbullah Noor Abu Bakar & Penolong Pengurus Besar Ladang Sungai Pandan, Encik Aidil Irham.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan jamuan makan tengah hari yang menyatukan seluruh komuniti ladang disamping menghayati semangat Syawal yang penuh keberkatan. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini & semoga usaha murni ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang.
