Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin dan Tahlil serta solat berjemaah, melambangkan permulaan yang penuh keberkatan dan kesyukuran.
Majlis ini juga diadakan bagi menghargai sumbangan, komitmen dan kecemerlangan warga kerja sepanjang tahun, selaras dengan usaha organisasi untuk memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi dan berdaya saing.
Kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohd. Azhar Mohd. Yusof, bersama barisan pengurusan kanan telah menyerikan majlis. Acara turut diserikan dengan penyampaian pengiktirafan kepada individu dan pasukan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang masing-masing.
Antara pengiktirafan yang dianugerahkan seperti:
Kontinjen Kawad Perak SADC, Naib Johan bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan/Badan Berkanun/NGO/Swasta
Saudara Izzat Shameer Dzulkeple, penerima Anugerah Olahragawan Negeri Perak
Pemenang Tenpin Boling Piala KPE 2025 bagi kategori Lelaki, Wanita dan Berkumpulan
Perak Agro Mills, syarikat pertama di Malaysia menerima Sijil Perakuan Ketua Audit Negara
Ketua Pegawai Eksekutif dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang warga kerja Perak SADC yang bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab hakiki di tempat kerja dengan penuh komitmen, malah turut menunjukkan dedikasi tinggi dan bersungguh-sungguh dalam melibatkan diri secara aktif dalam bidang lain-lain.
Malam Apresiasi ini menjadi wadah untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan menghargai usaha semua warga kerja yang telah menyumbang kepada kejayaan organisasi.
Diharapkan penganjuran majlis ini dapat menyemai semangat kerjasama serta memperkukuh komitmen warga Perak SADC dalam merealisasikan visi menjadi agensi peneraju pembangunan pertanian yang unggul dan dihormati.
