Majlis Agihan Keuntungan Ladang Rakyat Daerah Hilir Perak telah berjaya dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui inisiatif ekonomi berasaskan pertanian serta perladangan.
Program ini memberi manfaat secara langsung kepada peserta Ladang Rakyat yang terlibat, sekaligus mencerminkan kejayaan kerjasama antara Kerajaan Negeri , agensi pelaksana dan komuniti setempat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat antaranya Ketua Penolong Pegawai Daerah (P) Hilir Perak serta Pegawai- Pegawai Khas YAB MB.
Turut hadir, wakil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Encik Muhammad Najib bin Hassan serta Pengurus Kanan Korporat Sosial Perak SADC, Encik Mohd Yusree Mohd Radzuan.
Sebanyak 200 orang peserta menerima agihan keuntungan berjumlah RM300 setiap seorang bagi tahun ini. Perak SADC sebagai agensi pelaksana komited untuk terus memperluaskan manfaat program ini agar lebih ramai rakyat menerima faedah secara langsung.
Usaha ini selari dengan matlamat Kerajaan Negeri dalam menjadikan sektor pertanian sebagai pemangkin kepada pembangunan luar bandar dan peningkatan taraf hidup rakyat.