IPOH: Kerajaan Perak melalui kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Agrobank serta Jabatan Pertanian Negeri Perak, telah menganjurkan program Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023 dan Pertandingan Edu Farming Sekolah 2022 peringkat negeri Perak.

Pertandingan yang bertujuan memperkasakan aktiviti pertanian dalam kalangan masyarakat serta berkonsepkan pertanian lestari dan pintar itu turut membabitkan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata objektif lain pertandingan itu adalah untuk menjadikannya platform bagi mengukuhkan kelestarian sekuriti makanan dan sebagai rangsangan bagi aktiviti pertanian, termasuk pertanian bandar sebagai kaedah penghasilan bahan makanan sendiri.

Katanya, aktiviti pertanian ini juga berpotensi untuk diketengahkan sebagai sumber penjanaan pendapatan utama atau sampingan, sama ada kepada individu perseorangan mahupun komuniti keseluruhannya.

"Sekuriti makanan sememangnya diletakkan sebagai antara teras utama dalam pelan Perak Sejahtera 2030 yang mana sebarang program ke arah menjayakan agenda itu, termasuk menarik minat masyarakat semestinya disokong penuh.

"Kita meletakkan sekuriti makanan sebagai keutamaan kerana itu ada program berkaitannya dengan tujuan, menarik minat rakyat Perak untuk menyiapkan keperluan barang makanan sendiri.

"Kita hendak lebih ramai orang bersiap sedia dengan apa yang dipanggil sebagai kitchen farm (pertanian dapur).

"Sebab itu, ia kena dimulakan dengan pendidikan pada peringkat awal dengan membuat pertandingan antara sekolah, dengan harapan sekolah di Perak menggalakkan pelajarnya mencintai aktiviti pertanian.

"Begitu juga di surau serta masjid dalam kalangan ahli kariah," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023 serta Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Edu Farming Sekolah 2022 peringkat negeri sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan kerajaan negeri di pekarangan Stadium Indera Mulia, di sini kelmarin.

Saarani berkata, pertandingan yang diadakan bukan sekadar bagi mencari pemenang, sebaliknya dengan harapan pertanian akan menjadi budaya kepada pelajar sekolah berkenaan, serta keluarganya, di samping masyarakat bagi kategori surau dan masjid.

Bagi Pertandingan Edu Farming Sekolah 2022, sebanyak 16 sekolah mengambil bahagian membabitkan dua kategori, iaitu kategori rendah dan sekolah menengah.

Kategori sekolah rendah dimenangi Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Kerian, manakala juara kategori sekolah menengah adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Idris Shah, Gopeng.

Bagi kedua-dua kategori yang membabitkan penyertaan sekolah dari daerah Kinta Utara, Kinta Selatan, Perak Tengah dan Kerian itu, johan membawa pulang RM6,000, manakala naib johan (RM4,000) dan tempat ketiga (RM2,000,) selain turut menerima plak, set pertanian dan sijil penyertaan.

Bagi Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023 pula ia menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM12,000 bersama plak, set pertanian dan sijil penyertaan.

Pertandingan itu yang membabitkan komuniti masjid atau surau di seluruh Perak, masih dibuka sehingga 28 Februari ini.

Hadiah wang tunai bernilai RM36,000 bagi kedua-dua pertandingan ini adalah tajaan daripada Perak SADC dan Agrobank.

Capaian Siaran Media:


Perak SADC, Agrobank sokong usaha giatkan aktiviti pertanian bandar di sekolah dan masjid