IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memperuntukkan konsep dana endowmen atau wakaf berjumlah RM20 juta yang bakal diguna pakai dalam pembangunan akademi sekuriti makanan bagi memperkukuhkan jaminan sekuriti makanan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan.

Penubuhan akademi sekuriti makanan adalah antara langkah menggerakkan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan agenda ini dalam program flagship Lembah Bakul Makanan dan bertujuan, memastikan ketersediaan kuantiti makanan yang mencukupi serta berkualiti dibekalkan melalui pengeluaran untuk kegunaan domestik dan import.

Akademi itu juga antara penanda utama dalam Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 di bawah agenda jaminan makanan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata konsep wakaf itu bertujuan agar akademi terbabit bercirikan industri (indusry driven), termasuk membawa tenaga pakar dalam kedua-dua bidang akademik serta industri untuk berkumpul dan bertumpu di negeri itu.

"Seterusnya, menjadikan Perak bukan sekadar cukup dengan makanan yang diperlukan oleh rakyat di negeri, namun turut menjadikan Perak sebagai hab pengeluaran makanan ke arah sekuriti makanan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) akademi sekuriti makanan (Penubuhan Dana Endowmen) sempena program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di pekarangan Stadium Indera Mulia, di sini, kelmarin.

Pertukaran MoU itu membabitkan antara Perak SADC yang diwakili Yahanis Yahya bersama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang diwakili Naib Canselornya, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi, dan Institut Darul Ridzuan (IDR) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Maisarah Ahmad.

MoU dipersetujui itu dianggap langkah permulaan dalam penubuhan akademi sekuriti makanan yang bakal bertapak di USAS dan akan dijadikan sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan dalam usaha menjadikan Perak sebagai lokasi pertama akademi seumpama itu ditubuhkan di Asia Tenggara.

Menerusi kenyataan Perak SADC, akademi terbabit akan menjadi hab inovasi serta percambahan ilmu dan pusat pembangunan kapasiti yang memupuk rangkaian industri serta komuniti dalam merealisasikan agenda sekuriti makanan Perak.

Akademi sekuriti makanan yang pertama di Malaysia itu diyakini akan menjadi perintis kepada usaha sama yang membabitkan pemain industri, ahli akademik, agensi kerajaan dan negeri yang akan membuka jalan kepada implementasi sekuriti makanan yang berimpak tinggi, selain kalis perubahan masa hadapan.

"Justeru, kerjasama silang antara USAS, Perak SADC dan IDR menerusi perkongsian kepakaran lapangan serta profesional yang dimiliki Perak SADC dengan kepakaran akademik USAS dalam pertanian serta penternakan, manakala tadbir urus oleh IDR, diharapkan dapat membawa manfaat kepada Perak, khususnya penduduk setempat.

"Ia sekali gus dapat menangani isu keterjaminan makanan terutamanya jika berlaku sebarang isu yang tidak terduga," katanya.

Capaia Siaran Media:


Perak SADC peruntuk RM20 juta untuk dana endowmen akademi sekuriti makanan