IPOH, 6 APRIL 2023– Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) telah menyumbang sebanyak RM64.74 juta sepanjang tahun 2022 khusus untuk bantuan kepada kerajaan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Sumbangan berkenaan mampu dihulurkan hasil daripada pengurusan organisasi yang sistematik selain komitmen tinggi dipamerkan oleh seluruh warga kerja Perak SADC turut menjadi faktor pendorong kepada lonjakan pendapatan sepanjang tahun 2022.
YAB Menteri Besar merangkap Pengerusi Perak SADC, Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad berkata, sumbangan berkenaan meliputi segmen Pulangan Tahunan Kepada Kerajaan Negeri (PTTKN), Sumbangan Kepada Rakyat, Kelestarian Alam serta Kakitangan Perak SADC.
Beliau berkata, melalui PTTKN, Perak SADC telah menyumbangkan sebanyak RM22 juta pada tahun 2022 berbanding RM17 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
“Sumbangan oleh Perak SADC melalui PTTKN ini merupakan yang tertinggi dikalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Perak selain peruntukan berkenaan penting untuk membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan yang memberi impilkasi atau manfaat secara berterusan kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Selain itu, katanya, sumbangan berjumlah RM32.08 juta telah disalurkan oleh Perak SADC melibatkan Sumbangan Kepada Rakyat yang meliputi Agihan Ladang Rakyat dan Ladang Untuk Rakyat serta program berbentuk kemasyarakatan yang menyantuni rakyat di segenap lapisan.
“Melalui Agihan Ladang Rakyat dan Ladang Untuk Rakyat sumbangan berjumlah RM16.99 juta telah memberi manfaat kepada 6995 individu dimana objektif utama agihan ini dilaksanakan bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat melalui bantuan kewangan malah pendekatan ini memperlihatkan bahawa Perak SADC sentiasa prihatin untuk berkongsi rezeki bersama rakyat.
Bagi program berbentuk kemasyarakatan pula, sebanyak RM15.09 juta telah diperuntukkan bagi:
- Sumbangan kepada Yayasan Bina Upaya (RM3.98 juta) untuk Kedai Bergerak YBU bagi penjualan barangan keperluan harian dengan harga yang murah.
- Sumbangan Lembu korban Perdana (RM1.74 Juta) kepada kerajaan negeri bagi pengimarahan sambutan Hari Raya Aidiladha di seluruh negeri Perak.
- Program Tuisyen Cikgu Saarani (RM1.0 Juta) bagi menyalurkan bantuan berbentuk makanan kepada para pelajar Sekolah Menengah di negeri Perak.
- Sumbangan Kepada USAS (RM1.0 Juta) diperuntukkan bagi membantu pengoperasian dan pembangunan USAS.
- Program Urban Farming Community (RM1.6 Juta) dilaksanakan sebagai satu inisiatif penghasilan makanan kendiri sekaligus meringankan kos sara hidup rakyat sejajar dengan slogan YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad iaitu “tanamapa yang kita makan, makan apa yang kita tanam”.
- Sumbangan Ramadan 59 ADUN (RM1.32 Juta) yang bertujuan memudahkan bantuan kepada rakyat melalui ADUN kawasan sempena sambutan bulan Ramadan.
- Program Kemasyarakatan (RM3.25 Juta) merupakan peruntukan disumbangkan untuk pelbagai program dan aktiviti yang meliputi aspek keagamaan, pendidikan, sosial dan pembangunan infra bagi kemudahan rakyat.
- Sekolah & Yayasan (RM1.2 Juta) disalurkan bagi tujuan membantu pelaksanaan program pendidikan di sekolah serta program kebajikan untuk aktiviti sosial.
Menyentuh perkara berkaitan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Saarani berkata, sebanyak RM5.91 juta peruntukan telah memberi manfaat kepada 957 orang usahawan sepanjang tahun 2022 yang meliputi Pinjaman Tanpa Faedah, Geran Usahawan Asnaf, Agrofest, Program Pembedayaan Usahawan Wanita, Program Mentor Mentee dan sebagainya.
Objektif utama pelaksanaan ke semua program ini bukan sahaja bertujuan untuk melahirkan usahawan-usahawan baru malah berfungsi dalam memberi galakan kepada segenap lapisan masyarakat melibatkan diri dalam bidang pertanian. Selain itu, melalui pelaksanaan program-program ini juga membuka ruang dan peluang kepada usahawan sedia ada untuk mengembangkan lagi perusahaan yang dijalankan.
“Di samping itu, Perak SADC juga dalam proses perancangan untuk meneroka usahasama bersama Kementerian Ekonomi bagi Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang memfokuskan kepada usaha membasmi kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat menerusi Inisiatif Usahawan Tani (INTAN),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan Perak SADC juga telah menyumbangkan sebanyak RM3.15 juta khusus kepada kakitangannya melalui Bantuan Kotak Makanan, Pakej Internet Program Tuisyen Cikgu Saarani Kakitangan B40, Bantuan Ramadan dan Raya serta Program Back To School.
“Sumbangan-sumbangan ini merupakan salah satu tanda penghargaan atas jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh kakitangannya dalam memastikan Perak SADC terus unggul serta menjadi pelopor utama dalam bidang pertanian diperingkat negeri Perak,” katanya.
Tambah beliau, sejumlah RM1.6 juta turut disumbangkan oleh Perak SADC khususnya dalam membantu kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di negeri Perak melalui program penanaman spesies bakau dan pesisir pantai yang dijayakan bersama pelbagai pihak.
“Segala sokongan dan dokongan yang diberikan dalam bentuk sumbangan ini membuktikan bahawa Perak SADC sememangnya komited dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan ia merupakan antara teras yang mendukung prinsip alam sekitar, sosial dantadbir urus (ESG),” katanya.
Saarani berkata, ke semua sumbangan yang diperuntukkan bagi manfaat kepada rakyat dinegeri Perak ini adalah berdasarkan kecemerlangan dicapai oleh Perak SADC melalui prestasi kewangannya yang merekodkan pendapatan sejumlah RM755 juta sepanjang tahun 2022.
