BATU GAJAH, 13 JUN 2023 – Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) secara dasarnya komited mempelbagaikan sumber pendapatannya bukan hanya bergantung kepada komoditi sawit semata-mata malah turut mengembangkan perniagaan dalam bidang pertanian berasaskan industri agro/eko pelancongan.
Hal ini sejajar dengan visi Perak SADC untuk menjadi agensi peneraju pembangunan pertanian yang unggul dan dihormati selain diperkasakan dengan misi membangunkan sektor pertanian negeri dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta negeri Perak melalui projek-projek komersil pertanian dan industri asas tani yang bernilai tinggi serta pelbagai program pembangunan sosial berimpak tinggi.
Untuk rekod, Perak SADC sebelum ini telah bergiat secara proaktif dalam memperluaskan bidang agro/eko pelancongan ini dimana antara tempat yang telah dibangunkan adalah seperti Perak Agrotourism Resort (PATRO) Sungai Galah, Taman Herba, Masoorat Heritage Park, Denai Kabus dan Ulu Piah.
Ke semua lokasi ini menampilkan pelbagai aktiviti yang mampu menarik kehadiran pengunjung seperti eksplorasi gua, camp site, berbasikal, ATV, memancing, herb tour dan sebagainya.
Selain itu, Perak SADC juga dalam perancangan untuk melancarkan program agro/eko pelancongan dengan kerjasama Tourism Perak serta beberapa agensi-agensi lain di Hulu Perak pada penghujung tahun ini sempena Tahun Melawat Perak 2024. Objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk membuka ruang kepada para pemain industri mempromosi produk-produk pelancongan mereka kepada masyarakat dan secara tidak langsung ia berpotensi meningkatkan penjanaan pendapatan masing-masing.
Inisiatif yang digerakkan ini juga adalah antara agenda yang terkandung dalam flagship Perak Sejahtera 2030.
Sebagai tambahan, Perak SADC juga akan membangunkan satu lagi projek pembangunan agro/eko pelancongan serta tanaman integrasi di kawasan Papan yang diharap mampu memberi nilai tambah sekaligus mengembangkan lagi industri agro/eko pelancongan di Perak yang dilihat mampu menjadi daya tarikan baharu khususnya kepada pengunjung domestik dan luar negara.
