Manjung, 21 Ogos 2023 – YAB Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Kumpulan
Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Dato’ Seri Saarani
bin Mohamad telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Taman Industri Halal Perak@Lekir
(Perak HIP) di sini, hari ini. Projek Perak HIP ini merupakan langkah berani kerajaan
Negeri melalui Perak SADC serta dalam memacu perkembangan industri halal yang
semakin penting di peringkat Antarabangsa.
Seiring dengan potensi yang dimiliki, Perak SADC selaku
agensi peneraju bagi agenda utama Perak Sejahtera 2030 serta program Flagship 1 Lembah Bakul Makanan Malaysia
(Sekuriti Makanan) yang merupakan antara 18 Flagship yang telah diperkenalkan
sebagai pemangkin untuk mencapai agenda Perak Sejahtera 2030.
Seperti yang kita sedia maklum, Perak SADC bersama-sama
jabatan dan agensi terlibat berusaha keras meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR)
Perak, khususnya dalam sektor daging. Angka 13.6% yang disebutkan sebelum ini
menunjukkan betapa banyak ruang untuk peningkatan.
Justeru itu, pembangunan Perak HIP ini adalah
kesinambungan daripada program lembu tempatan yang dilaksanakan oleh Perak SADC
sejak 2022 dengan matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan pengeluaran
daging halal di Malaysia, memperkukuhkan rantai bekalan yang mapan dan
berteraskan integriti, memberikan nilai tambah kepada pengeluaran daging, serta
untuk memperluaskan jangkauan produk halal Perak ke pasaran global. Dengan
pendekatan bersepadu ini, Perak mampu memenuhi permintaan yang semakin
meningkat, baik di dalam mahu pun di luar negara. Sebagai tambahan, fokus
pembangunan ini adalah kepada aktiviti daging halal. Namun demikian,
pembangunan ini turut dibuka untuk aktiviti-aktiviti lain serta produk halal.
Menurut YAB Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Perak SADC, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, sektor pertanian memainkan peranan yang penting di dalam pembangunan sosioekonomi Perak melalui sumbangannya kepada pendapatan negeri dan perolehan eksport serta mewujudkan peluang pekerjaan. Di dalam konteks ini, Perak ingin menjadikan Negeri ini sebagai pembekal utama makanan dan juga bahan mentah untuk industri berasaskan ternakan ayam dan lembu.
Pembangunan Perak HIP ini akan memberi manfaat kepada
rakyat dimana lebih 300 peluang pekerjaan akan dibuka kepada penduduk setempat
serta peluang kepada kontraktor-kontraktor G1 bumiputera. Pembangunan ini juga
memberi peluang kepada kepada syarikat-syarikat yang sedang mencari lokasi yang
strategik, fasiliti yang canggih, dan ekosistem yang menyokong pertumbuhan dan
inovasi untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam Perak HIP kelak.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mewujudkan pelaburan dan pembangunan di Negeri Perak. Pada suku kedua 2023 (S2 2023), kita telah menyaksikan pencapaian yang luar biasa dalam usaha menarik pelaburan daripada Malaysian Investment Development Authority (MIDA) ke dalam Negeri Perak. Perak adalah antara empat negeri teratas yang menarik majoriti pelaburan diluluskan di negara ini, yang berjumlah RM7.1 bilion. Pelaburan yang telah diterima merangkumi daripada pelbagai sektor termasuklah pertanian telah memberikan impuls baharu kepada ekonomi negeri kita,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak SADC, Tuan Haji Yahanis bin Yahya berkata, dari segi kewangan, kami mengakui bahawa projek ini memerlukan pelaburan yang besar. Mencari sumber kewangan yang tepat dan mencukupi adalah suatu cabaran, namun kami berusaha keras untuk memastikan setiap sen yang dilaburkan memberikan pulangan yang maksimum.
Gross Development Value dijangka akan mencapai RM1
Billion dan akan menawarkan harga tanah industri yang kompetitif setanding
dengan lain-lain kawasan industri. Perak SADC juga komited untuk melabur
sejumlah RM20 juta untuk 2 tahun pertama yang antaranya untuk pembinaan
jejambat bagi menghubungkan lebuhraya WCE terus kepada Perak HIP bagi
memastikan kelancaran logistik.
Pembangunan Perak HIP ini akan melibatkan kawasan
berkeluasan 106.57 ekar yang bukan sahaja akan menjadi nadi ekonomi baru untuk
negeri Perak, tetapi juga sebuah platform bagi pengusaha dan pemilik perniagaan
halal untuk membawa produk mereka ke pasaran global.
Perak HIP ini akan mempunyai kemudahan ‘holding
yard’ ternakan, pusat sembelihan, pusat pemprosesan, kilang makanan ternakan,
lot-lot kilang industri kecil dan sederhana (IKS) serta lot-lot komersial.
Diantara keistimewaan di Perak HIP yang akan
diperoleh oleh pelabur-pelabur yang mengambil bahagian adalah seperti berikut:
- Dilengkakapi
dengan infrastruktur dan fasiliti terkini serta Memiliki Pensijilan Halal
Malaysia, HACCP dan GMP yang akan memberi kelebihan bagi pasaran eksport
global.
- Sokongan pelbagai
insentif kerajaan, terutamanya insentif yang ditawarkan oleh Perbadanan
Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) seperti pengecualian cukai untuk status perintis,
elaun cukai pelaburan, elaun pelaburan semula dan insentif untuk Industri
4.0 seperti Elaun Modal Automasi, Program Pemerkasaan Transformasi
Digital, Dana Strategik Pelaburan, Dana Impak Tinggi, Geran Automasi
Pintar, Insentif Industri Elektrik & Elektronik, Dana Transformasi
Digitalisasi Industri serta Insentif Untuk Pembangunan Vendor.
Insentif-insentif ini sememangnya akan menarik lebih ramai pengusaha dan
pelabur ke Perak HIP ini.
- Lokasinya yang strategik, berhampiran dengan jaringan lebuhraya
West Coast Expressway (WCE) dan berdekatan dengan pelabuhan utama seperti
Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Pulau Pinang, menawarkan
kelebihan logistik yang tidak ternilai.
- Pendekatan berteknologi tingginya. Dengan integrasi teknologi
seperti Internet of Things (IoT) dan teknologi hijau.
Tuntasnya, Taman Industri Halal @ Lekir di Perak
adalah contoh terbaik bagaimana negeri ini berusaha untuk membangunkan industri
halal yang kukuh dengan menyediakan kemudahan-kemudahan yang komprehensif dan
infrastruktur yang menyokong pertumbuhan pesat dalam sektor ini.
Dengan adanya Taman Industri Halal @ Lekir ini,
Negeri Perak mengalu-alukan pelabur tempatan dan luar negara untuk sama-sama
mengambil bahagian dan menjayakan inisiatif yang diusahakan ini.
Dalam majlis yang sama turut diadakan acara
Penyerahan replika cek (mock cheque) bernilai RM20juta
daripada Agrobank kepada Perak SADC bagi membiayai peserta-peserta yang
terlibat di dalam Perak HIP, Penyerahan surat sokongan bagi cadangan
Pembangunan Perak HiP antara Maybank Islamic Berhad & Perak SADC serta
Memorandum usahasama antara Perak Agro Farm Sdn Bhd, Ladang Lekir Sdn Bhd dan
Eurofresh Sdn Bhd dalam pembangunan industri lembu tempatan.
