Kuala Lumpur: Inisiatif utama
pembangunan Lembah Berteknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang berpusat di
Tanjung Malim berpotensi menggiatkan semula industri automotif negara, kata
Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menteri Besar Perak berkata, misi promosi pelaburan negara ke Shanghai, Hangzhou, Nanning dan Guangzhou di China yang berlangsung dari 15 hingga 21 Oktober lalu, berjaya menarik potensi pelaburan ke Perak.
Katanya, projek itu bukan sahaja dijangka menarik pelaburan bernilai RM32 bilion dalam tempoh 10 tahun lagi, tetapi juga mewujudkan beribu peluang pekerjaan dan meletakkan Malaysia menjadi peneraju serantau dalam pengeluaran kenderaan generasi akan datang.
"Malah, Perak akan memperoleh manfaat secara langsung hasil penubuhan Hab Perindustrian Berteknologi Tinggi baharu di Kerian yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu. "Dengan adanya hab itu, ia dijangka menyokong pembangunan projek berteknologi tinggi di Perak dan seterusnya memacu perniagaan dengan persekitaran kondusif untuk pelabur dan disasarkan kepada sektor khusus," katanya pada majlis 'MIDA Invest Series-Perak: Unfolding its Business Potentials' yang berlangsung di Perdana Hall, MIDA Sentral di sini, baru-baru ini.
Saarani berkata, Perak komited menggalakkan pelaburan ke negeri itu dengan bersedia dan mampu mempertimbangkan insentif munasabah serta menghapuskan halangan untuk memudahkan pelabur.
"Ini selari dengan objektif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang komited mempromosikan projek berimpak tinggi di Perak kepada bakal pelabur dan programnya itu menarik minat lebih 250 peserta. "Program itu membabitkan kerjasama kerajaan Perak dan ia satu inisiatif penting dalam usaha kerajaan menawarkan peluang pelaburan yang menarik di negeri ini.
"Selain itu, ia sebagai inisiatif penting yang menandakan usaha berterusan kerajaan mempromosikan peluang pelaburan menarik di Perak," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman, berkata Perak adalah wilayah yang amat berpotensi, selain mencatatkan pencapaian membanggakan dalam sektor pembuatan, pertanian dan pelancongan.
"Hab seperti AHTV dan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) memacu pelaburan dan penciptaan peluang pekerjaan, sekali gus mencerminkan komitmen kita untuk berdaya maju," katanya.
Beliau berkata, Malaysia memperoleh pelaburan RM132.6 bilion yang diluluskan merentasi sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama bagi tempoh separuh pertama tahun ini.
"Sehingga 30 Jun lalu, Perak memperoleh pelaburan lebih RM22.3 bilion yang direalisasikan daripada 283 projek pembuatan mewujudkan lebih 22,000 pekerjaan.
Dalam pada itu, empat taman perindustrian baharu diketengahkan di Perak melalui program MIDA Invest Series, iaitu projek Taman Bersepadu Ipoh Raya: Taman Bersepadu Generasi Baharu akan dibangunkan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) menerusi MRCB Land. Ia wujud sebagai projek bersepadu sehenti yang ditetapkan memenuhi keperluan syarikat multinasional yang mahukan pembangunan di lokasi strategik, mampan dan dibina mengikut kesesuaian melalui penyesuaian, penciptaan persekitaran tempat kerja yang kondusif, penyelesaian inovatif dan reka bentuk yang mampan.
Wujudkan Ekosistem Holistik
Perbadanan Pembangunan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pula menerajui Teknologi Lembah Perak yang mewujudkan ekosistem holistik untuk infrastruktur, ketersambungan digital, telekomunikasi, penyelesaian hijau, perumahan dan pembangunan hartanah industri serta logistik pelabuhan.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak (SADC Perak) pula mempelawa pelabur untuk memanfaatkan projek Taman Perindustrian Halal Perak (HIP) dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM1 bilion untuk lima tahun akan datang. Ia terletak berhampiran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Pulau Pinang, Taman Perindustrian Halal Perak, lokasi strategik yang memberi kelebihan dalam aspek logistik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SADC Perak, Yahanis Yahya, berkata projek itu akan menjana lebih 300 hingga 500 peluang pekerjaan untuk penduduk dan peluang kepada kontraktor Bumiputera.
"Kami sedang mencari penggiat atau pemain industri dan usahawan yang terbabit dalam industri daging dan makanan; pemprosesan makanan; logistik. agroteknologi, usahawan makanan dan minuman; usahawan runcit; penyelidik, pekerja berpengetahuan, pembekal ekosistem dan lain-lain untuk memanfaatkan peluang ini.
"Matlamat utama pembangunan Perak HiP adalah untuk meningkatkan pengeluaran daging halal di Malaysia, mengukuhkan rantaian bekalan yang mampan dan berasaskan integriti, dan meluaskan jangkauan pasaran global produk halal Perak.
"Dengan pendekatan bersepadu ini, Perak berupaya memenuhi permintaan yang semakin meningkat di dalam negara dan pasaran antarabangsa," katanya.
Katanya, pembangunan Perak HiP akan membabitkan kawasan seluas 43.127 hektar, yang bukan saja menjadi hab ekonomi baharu bagi Perak, tetapi juga platform kepada usahawan dan pemilik perniagaan halal untuk membawa produk mereka ke pasaran global.
"Fasa pertama pembangunan infrastruktur HiP Perak dijangka siap tahun depan dengan kos RM100 juta dan dijangka beroperasi penuh menjelang 2025.
"Melalui pembangunan itu, ia dijangka meningkatkan tahap sara diri daging, yang kini berada pada 14.7 peratus," katanya.
