IPOH, 14 Disember 2023 – Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memperuntukkan RM2 juta biasiswa pertanian khususnya bagi pelajar berkelahiran Negeri Perak yang akan dan sedang mengikuti pengajian sepenuh masa di IPT sebagai inisiatif dalam meningkatkan modal insan dan ekonomi Negeri.  Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan Perak juga ditandatangani melalui Skim Biasiswa Pertanian Perak SADC berhasrat untuk Yayasan Perak menguruskan Skim ini secara sepenuhnya.

 

Menurut YAB Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Perak SADC, Dato’ Seri Saarani bin Mohamed, “langkah ini dibuat bagi meramaikan lagi sumber tenaga kerana Perak SADC

percaya pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan modal insan pada semua peringkat akan melahirkan bakat yang mampan dan berterusan bagi Perak SADC, industri dan juga negara.” Hal ini sejajar dengan Program Flagship 5 yang termaktub dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

 

Oleh hal yang demikian, pihak pengurusan berpendapat anjakan paradigma perlu dilakukan bagi Perak SADC mengorak langkah dalam menerokai bidang-bidang baharu sekaligus menambah dan meluaskan sumber pendapatan sejajar dengan revolusi industri 4.0 yang sedang berkembang sekarang serta revolusi industri 5.0 kelak.

 

Bagi tujuan ini, Perak SADC perlu merancang keperluan sumber manusia yang memiliki kepakaran dan pemikiran/ bakat baharu bersesuaian dengan cabaran dan peluang yang wujud di masa hadapan melalui penajaan pendidikan dengan pemberian biasiswa dan latihan pengurusan kepada siswazah-siswazah cemerlang IPTA/ IPTS dalam bidang yang diperlukan.

 

Oleh hal yang demikian, tercetusnya Skim Biasiswa Perak SADC yang bermula pada tahun 2022 dengan jumlah pelajar terpilih seramai 53 orang dalam bidang-bidang seperti Sarjana Muda: Sains Pertanian, Ekonomi (Sumber Alam), Teknologi (Alam Sekitar), Sains Teknologi Hortikultur dan Lanskap, Sains Pertanian (Pengeluaran Ternakan),  Sains Gunaan (Agroteknologi), Sains Agroteknologi (Agronomi), Sains Perniagaantani, Sains Agroteknologi Bioteknologi Tumbuhan dan Sains Teknologi Dan Pengurusan Perladangan serta Industri Pertanian dari 8 IPTA terpilih antaranya UPM, UNISZA, UMT, UMS, UMK, UITM Kampus Arau, UITM Kampus Jasin dan USAS. Sehingga kini, Perak SADC telah menyalurkan sejumlah RM440,197.00.

 

Tambahnya lagi, "Jalinan kerjasama yang dimeterai ini akan bermula pada 2024 selama tempoh dua tahun. Program ini berfokus kepada pelajar peringkat Diploma / Ijazah Sarjana Muda / Ijazah Sarjana yang sedang mengikuti pengajian sepenuh masa di IPT/IPTS yang terpilih terutamanya dalam bidang pengajian berkaitan Pertanian/ Perladangan/ Teknologi dan Inovasi Pertanian, katanya.

 

Dalam pada itu, Yayasan Perak bertanggungjawab dalam menguruskan proses saringan calon dengan memastikan syarat-syarat yang dikemukakan adalah selari dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perak SADC. Antara syarat-syarat kelayakan dan pemilihan pelajar adalah seperti; Pemohon dan ibu atau bapa lahir di Negeri Perak, Pemohon dan ibu atau bapa yang lahir di luar Negeri Perak telah bermastautin di dalam Negeri Perak lebih daripada 10 tahun, Pemohon dan ibu atau bapa yang lahir di Negeri Perak tetapi beralamat di luar Negeri Perak yang telah bermastautin di dalam Negeri Perak lebih dari 10 tahun, Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000.00, Pemohon mestilah TELAH mendapat surat tawaran daripada universiti untuk program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang jurusan Perladangan/ Pertanian/ Teknologi dan Inovasi Pertanian, Pemohon mestilah mengikuti kursus pengajian Sepenuh Masa dan berkaitan.

 

Biasiswa pendidikan untuk pelajar yang terpilih bagi program ini meliputi yuran pengajian, elaun sara diri, elaun buku, kos pengangkutan serta kos keperluan tugasan pengajian lain berjumlah antara RM6,000.00 – RM19,000.00 setahun mengikut pusat pengajian tinggi masing - masing (IPTA/IPTS).

 

Dalam perkembangan lain, Perak SADC terus mengembangkan operasi perladangan kelapa sawitnya di bahagian operasi Sarawak dengan perolehan sebuah ladang yang berkeluasan 2,977 hektar (7,357.90 ekar) di Miri, Sarawak. Perolehan 85% pegangan di dalam Melemas Plantations Sdn. Bhd ini adalah bernilai RM209,516,202.5 juta dibiayai melalui pembiayaian MBSB Bank Berhad berjumlah RM178 juta. Dengan perolehan ini, sehingga kini Perak SADC memiliki seluas 8,362.7 hektar (20,664.23 ekar) di bahagian operasi Sarawak.

 

Seterusnya, sejajar dengan Belanjawan Negeri Perak 2024, Perak SADC telah merangka bajet tahun 2024 yang bertemakan ‘RM4.0 Bilion Menjelang 2025’ dengan unjuran pendapatan sebanyak RM907.2 juta merangkumi inisiatif keterjaminan makanan seperti yang telah dilaksanakan pada tahun lalu, akan diteruskan bagi menjamin kesinambungan pelaksanaan inisaitif ini berjumlah RM84.5 juta.

 

Sebagai tambahan, pada 14 November 2023 yang lalu, Kementerian Ekonomi telah bersetuju untuk Perak SADC melaksanakan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Usahawan Tani (IPR-INTAN) bagi tanaman jagung manis, cili dan terung di tiga lokasi iaitu Ladang Lambor (60 ekar), Ladang Sungai Rui (15 ekar) dan Ladang Belukar Semang (25 ekar) dengan kos berjumlah RM3.4 juta. Peserta bagi program ini terdiri daripada pekerja ladang Perak SADC dalam kategori B40. Program ini dilihat sekaligus mampu menjana pendapatan tambahan kepada mereka.

 

-tamat-


RM 2 JUTA BIASISWA PERTANIAN PERAK SADC
RM 2 JUTA BIASISWA PERTANIAN PERAK SADC