Sasar 50,000 jualan pakej pelancongan sehingga akhir 2024
IPOH, 24 Mei 2024 – Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) hari ini mengorak langkah proakatif dalam usaha memperkenalkan potensi dan daya tarikan agropelancongan dengan melancarkan sebuah portal khusus bagi industri agropelancongan yang pertama seumpamanya di Malaysia, ECODOOR.MY. Portal yang dibangunkan oleh Perak SADC itu telah menghimpunkan lebih 100 pengusaha agropelancongan untuk mempromosikan destinasi agropelancongan yang unik di Perak dan memudahkan pelawat portal untuk mendapatkan pakej-pakej agropelancongan yang menarik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, YB Tuan
Loh Sze Yee berkata, menerusi pelancaran portal ini, Kerajaan Negeri berharap dapat
meningkatkan kesedaran pelancong dalam negeri mahupun luar negara terhadap potensi
agropelancongan di Perak dan pada masa yang sama, mencapai pertumbuhan yang signifikan
dalam industri ini.
“Portal agropelancongan merupakan langkah penting dalam mempromosikan keindahan dan keunikan negeri Perak kepada dunia, sambil mengekalkan dan menyokong pembangunan lestari industri pertanian tempatan. Dengan ini, Perak memperluas daya tariknya sebagai destinasi agropelancongan yang menarik dan bermakna bagi semua jenis pelancong,” katanya di sini hari ini. Selain itu, pihak Perak SADC telah menganjurkan peraduan menamakan portal tersebut yang berlangsung selama 3 hari bermula 22 Mei lalu. Sementara itu, peraduan menamakan portal telah dimenangi oleh Puan Nurul Husna yang berjaya memenangi pakej agropelancongan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, YBhg. Dato’ Yahanis Yahya berkata, portal ini
menyediakan platform bagi pengusaha agropelancongan mempromosikan produk secara dalam
talian, mencapai lebih banyak pengunjung dan menjangkau pasaran yang lebih luas khususnya
pelancong daripada luar negara.
Katanya, secara langsung, portal ini dapat memacu pertumbuhan ekonomi dalam sektor
agropelancongan serta memberikan manfaat limpahan ekonomi kepada komuniti tempatan.
“Selain itu, kita menyasarkan sebanyak 50,000 pakej agropelancongan terjual sehingga hujung tahun ini berikutan sambutan menggalakkan semasa berlangsungnya Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Resort Tasik Raban, baru-baru ini. “Kami mengalu-alukan penyertaan dan sokongan daripada semua pihak, termasuk para pengusaha agropelancongan dalam usaha untuk mewujudkan destinasi agropelancongan yang berjaya di Perak selaras dengan Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.
Katanya lagi, Perak SADC komited dalam membantu Tourism Perak dalam pembangunan
agropelancongan ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri mengetengahkan industri
agropelancongan sebagai salah satu produk pelancongan yang utama.
Ini sekaligus memperkasa pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan YAB
Menteri Besar Perak, Dato Seri Saarani Mohamad dalam flagship Sekuriti Makanan di bawah
program Hab Agropelancongan.
